COUNTDOWN

Monday, November 10, 2014

Ucapan perasmian Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 YAB Tan Sri Dato Hj Muhyiddin Yassin



MAJLIS PERASMIAN KONGRES DAN PAMERAN WARISAN MELAYU SEDUNIA 2014
28/10/2014

DEWAN MATRADE, ARAS 3, MENARA MATRADE KUALA LUMPUR.


Bismillahirrahmanirrahim. 
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia. 

Yang Berbahagia Dato Mohamed Izat Emir, 
Presiden PERDASAMA 

Yang Berusaha Professor Dr Norsaadah Ismail, 
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Masyarakat & Alumni) UiTM. 

Yang Berbahagia Datuk Naim Mohamad, dan 
Professor Madya Dr Faizah Abdul Majid 
Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 

Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Datuk-Datuk, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian. 

1. Pertamanya, marilah kita memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah s.w.t. kerana dengan limpah izin dan kurniaNya kita dapat bersama-sama berhimpun dalam Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia pada hari ini. Terlebih dahulu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada PERDASAMA dan UiTM yang telah menjemput saya untuk merasmikan satu program yang amat penting kepada pengembangan warisan bangsa dan negara kita. 

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian, 

2. Saya difahamkan Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 ini merupakan program yang kedua selepas diadakan pada kali pertama dalam bulan April tahun 2005. Saya mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur kerana hasil daripada kongres pertama tersebut telah tertubuh sebuah Pusat Warisan Seni Melayu yang diletakkan di bawah seliaan Fakulti Senibina, Perancangan dan Ukur (FSPU) UiTM. Hasil daripada penubuhan pusat ini, sebuah institut yang dinamakan Institut Pemikiran & Kepimpinan Melayu Universiti Teknologi MARA (IMPAK) juga telah diwujudkan pada tahun 2008. Saya amat mengalu-alukan penubuhan badan ini yang berfungsi sebagai kumpulan pemikir untuk mengembangkan seni warisan Melayu serta bertindak sebagai pemangkin perubahan bangsa. Penubuhan institut ini juga diharapkan dapat menggalakkan usaha memelihara warisan Melayu sebagai warisan penting negara kita untuk manfaat generasi masa kini dan masa hadapan. 

3. Sebagai menyokong usaha memelihara warisan negara, Kerajaan telah mewartakan Akta Warisan Negara pada tahun 2005. Jabatan Warisan Negara pula berperanan untuk penguatkuasakan peruntukan-peruntukan di bawah Akta Warisan Negara 2005, mendaftarkan warisan negara ke dalam Daftar Warisan Kebangsaan, memelihara dan memulihara warisan negara, menjalankan penyelidikan dan pembangunan berkaitan warisan, mendokumentasi dan menerbitkan hasil kajian serta bahan-bahan rujukan berkaitan warisan, serta merancang, melaksanakan dan menyelaras aktiviti-aktiviti berkaitan warisan. Dengan adanya Akta ini dan satu jabatan khusus untuk memelihara warisan negara, saya percaya warisan Melayu yang merupakan khazanah penting bangsa Melayu dapat dipelihara dan dikembangkan di negara kita. 

4. Pada hemat saya, badan-badan bukan kerajaan seperti PERDASAMA dan NGO Melayu juga boleh memainkan peranan yang sama penting dalam memelihara serta mengembangkan warisan bangsa. Kerjasama strategik boleh diwujudkan dengan agensi kerajaan dan institusi pengajian tinggi tempatan untuk menjalankan penyelidikan mengenai warisan Melayu untuk tujuan pemuliharaan, pengembangan dan pendidikan. Selain itu, PERDASAMA sebagai sebuah pertubuhan berteraskan ekonomi, boleh memikirkan bagaimana produk-produk berunsurkan warisan Melayu boleh dipasarkan baik di dalam mahupun di luar negara. Secara tidak langsung, nilai ekonomi produk warisan Melayu akan melonjak dan industri yang berteraskan warisan Melayu boleh berkembang dengan lebih maju. Ini pastinya akan memberi banyak manfaat kepada para penggiat dalam bidang ini. 

5. Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia yang diadakan pada hari ini dan esok adalah satu medan terbaik untuk merangka satu pelan pembangunan industri berteraskan warisan Melayu di samping mengupas unsur-unsur positif dalam warisan sejarah ketamadunan dan kebudayaan Melayu yang dapat menyumbang kepada kemajuan bangsa. Dengan mengenengahkan unsur-unsur positif warisan dan tamadun Melayu kita pastinya akan dapat menyuntik semangat baru kepada bangsa Melayu untuk terus mara ke hadapan dan mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang. 

6. Lebih penting lagi, saya percaya kongres ini juga akan dapat menyemarakkan semangat lita’arafu, iaitu semangat untuk menggali dan mengenali khazanah warisan sejarah dan tradisi sesuatu bangsa, selaras dengan firman Allah s.w.t. dalam Surah Al-Hujrat Ayat 13: 

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلنَّاسُ إِنَّا خَلَقۡنَـٰكُم مِّن ذَكَرٍ۬ وَأُنثَىٰ وَجَعَلۡنَـٰكُمۡ شُعُوبً۬ا وَقَبَآٮِٕلَ لِتَعَارَفُوٓاْ‌‌ۚ 

Yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). 

7. Jelas terpancar daripada ayat ini bahawa manusia dijadikan berbilang bangsa dan keturunan supaya kita saling kenal mengenali dan menjalinkan hubungan yang mesra dan harmoni antara satu sama lain. Dengan adanya kesediaan untuk saling mengenali dan menjalinkan hubungan yang harmoni, maka tentunya kepelbagaian budaya, bahasa dan warisan yang dimiliki oleh setiap bangsa dan keturunan tidak akan menjadi faktor penghalang kepada perpaduan, kemakmuran dan kesejahteraan dalam sebuah masyarakat majmuk. Malah kepelbagaian yang ada dapat dimanfaatkan sebagai sumber kekuatan bersama. 

8. Dalam semangat lita’arafu inilah saya percaya usaha-usaha ke arah mengembangkan seni dan warisan Melayu dapat menjadi satu wahana penting bagi generasi hari ini, termasuk kaum bukan Melayu, untuk mengenali bangsa Melayu dengan lebih dekat, dan seterusnya menyumbang kepada kewujudan sebuah masyarakat yang saling mengenali khazanah budaya dan tradisi masing-masing serta hidup dalam suasana yang harmonis. InsyaAllah, usaha yang dilaksanakan oleh saudara dan saudari semua dalam mengkaji serta mengembangkan seni dan warisan Melayu menepati semangat lita’arafu sepertimana yang disebut di dalam al-Qur’an. Pastinya juga, menerusi seni dan warisan Melayu, kita dapat mengenengahkan nilai-nilai murni yang menjadi pegangan masyarakat Melayu sejak zaman berzaman untuk dijadikan panduan oleh generasi hari ini. 

9. Akhirnya, sebagai penutup bicara, saya sekali lagi ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada PERDASAMA dan UiTM sebagai penganjur kongres dan pameran yang telah berjaya menghimpunkan pakar-pakar dalam bidang kajian warisan Melayu untuk membentangkan hasil kajian mereka di dalam kongres ini. Mudah-mudahan perbincangan di dalam kongres ini akan mendatangkan manfaat yang besar kepada kita semua. 

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim saya dengan sukacitanya merasmikan Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014. 

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

No comments:

Post a Comment