Perdasama anjur kongres martabatkan kembali ekonomi Melayu
Oleh MOHD. HAZLI HASSAN
KUALA LUMPUR
6 Okt. -
Selepas sekian lama dijadikan pilihan kedua, ekonomi dan warisan Melayu bakal dimartabatkan kembali melalui Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia hujung bulan ini.
Naib Presiden IV Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Sohaimi Shahadan berkata, aktiviti ekonomi masyarakat Melayu kini sudah semakin menyeluruh termasuk berada di peringkat global.
"Melayu bukan hanya ada di rantau Asia Tenggara sahaja malah lebih menyeluruh kerana ada yang jadi pelaut dan pedagang yang menjelajah seluruh dunia.
Mereka inilah yang membawa semangat bangsa Melayu ke peringkat global dan mereka terbukti berjaya. Jadi, mereka ini yang akan kita jemput untuk menyertai kongres dan pameran yang dianjurkan bagi membolehkan pengalaman mereka diberitahu kepada umum," katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pameran dan Padanan Perniagaan, Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 berkata demikian pada sidang akhbar Kongres dan Pameran Warisan Melayu Sedunia 2014 yang dianjurkan oleh Perdasama dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.
Kongres dan pameran itu akan diadakan pada 28-29 Oktober ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dan akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - UTUSAN ONLINE
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20141007/dn_34/Perdasama-anjur-kongres-martabatkan-kembali-ekonomi-Melayu#ixzz3FVreUvZ3
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment